Monday 13 August 2012

Apa itu Seksyen 114-A?


Seksyen 114A adalah satu daripada dua pindaan terhadap Akta Keterangan yang dibentangkan di parlimen April lalu dan telah digazetkan pada 31 Julai 2012. Tujuan seksyen ini dipinda katanya adalah khas untuk bertindak terhadap bahan-bahan ‘berbahaya’ di internet. Pindaan tersebut memudahkan pihak berkuasa mendakwa mana-mana pihak yang menyiarkan sesuatu yang memfitnah atau menghasut di internet.

Pindaan terbaru ini meletakkan kebertanggungjawaban kepada pemilik atau penyelaras blog, forum yang membolehkan orang lain menyiarkan komen; pembekal internet dan pembekal webhosting serta mereka yang memiliki komputer atau alat untuk menyiarkan bahan secara online.

Sebagai contoh sekiranya ada apa-apa kenyataan fitnah yang boleh dijejak kembali kepada kata laluan anda, atau alat elektronik anda, bahkan rangkaian internet rumah anda; Seksyen 114A memberi tanggapan bahawa anda bersalah sehingga anda dapat membuktikan sebaliknya. Ini bersalahan dengan tanggapan tidak bersalah sehingga terbukti bersalah seperti yang menjadi amalan kehakiman selama ini di seluruh dunia.

Justeru pindaan gila ini secara tidak adil memindahkan beban bukti kepada pengguna internet yang mungkin didakwa secara salah, untuk sebarang kenyataan fitnah atau menghasut yang terbit daripada rangkaian internetnya. Malah pentadbir forum-forum juga boleh dikenakan tindakan untuk kenyataan-kenyataan yang diterbitkan di laman forum mereka.

Apa yang lebih buruk ialah seandainya rangkaian internet seseorang digodam dan digunakan untuk menyiarkan bahan-bahan tersebut.

No comments:

Post a Comment