Sunday, 12 August 2012

Rakyat Diperbodohkan: Cakap Kosong & Penipuan Anwar kian parah?


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih lagi mencanang akan ada wakil rakyat dari anggota Barisan Nasional (BN) yang akan menyertai pakatan mereka atas alasan kononnya kepimpinan BN semakin merudum dan sudah tidak dipercayai rakyat.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Jainab Ahmad menyelar pemimpin pakatan pembangkang yang lebih suka ‘mencuri’ anggota BN untuk dikitarsemula sebagai pemimpin dalam pakatan pembangkang.

“Jika benar pakatan pembangkang kuat dan mempunyai sokongan yang ramai kenapa mesti ‘mencuri’ pemimpin-pemimpin dari BN dan dijadikan sebagai modal politik untuk meraih sokongan dari orang ramai,” katanya kepada UMNO-Online.

Jelasnya, Anwar sewajarnya tidak perlu bersusah payah untuk terus menipu rakyat kerana masyarakat tidak lupa akan apa yang pernah dijanjikan olehnya bukan saja kepada para pengundinya tetapi juga kepada masyarakat umum.

“Anwar memang suka berjanji dan dari dulu lagi sudah macam-macam yang dia kata sebagaimana janji 16 September kononnya kerajaan akan bertukar kepada pakatan pembangkang tetapi sehingga sekarang sudah berapa kali 16 September berlalu tetapi dia mulakan lagi dengan janji-janji lain.

“Pakatan pembangkang mensensasikan tindakan anggota BN yang menyertai mereka sedangkan sebenarnya ramai lagi anggota PKR yang telah meninggalkan parti mereka dan memberikan sokongan kepada BN lantaran sedar bahawa perjuangan yang dilakukan oleh pakatan pembangkang penuh dengan janji palsu,” katanya.

Tegasnya lagi, sekiranya benar kepimpinan pakatan pembangkang khususnya PKR sendiri berjuang untuk rakyat maka tentunya mereka akan mencari pemimpin di kalangan rakyat dan bukannya mengguna pakai kembali bekas pemimpin dari BN.

“Ini semua mainan politik pembangkang yang hanya tahu berjanji, berjanji dan berjanji sedangkan sehingga sekarang iaitu hampir satu penggal mereka mendapat mandat di empat buah negeri tetapi apa yang telah mereka lakukan?

“Sudahlah tidak bawa sebarang pembangunan kepada negeri-negeri tadbiran mereka malah banyak pula masalah yang timbul sebagaimana di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang,” katanya.

Dalam hal ini beliau turut menyorot kembali tindakan yang dilakukan oleh Anwar semasa berada dalam kerajaan dan menjawat Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kewangan.

“Apa jasa Anwar ketika itu sedangkan semasa Malaysia turut dibelenggu kemelut ekonomi Tun Mahathir yang menyelamatkan ekonomi negara walhal Anwar lebih cenderung untuk meminjam kepada bank dunia, jadi apa relevannya sekarang Anwar mahu bercakap tentang selamatkan Malaysia sedangkan dasarnya dulu hampir menghancurkan negara.”

Terang beliau, tindakan pemimpin parti seperti Datuk Seri Lajim Ukin dan Datuk Seri Wilfred Bumburing keluar dari BN dan memberikan sokongan pada pakatan pembangkang bukanlah melambangkan keseluruhan pemimpin dan wakil rakyat BN khususnya di Sabah.

“Mereka ini keluar parti dan kemudian memburuk-burukkan BN sedangkan jika difikirkan kembali kenapa baru sekarang mereka keluar dari BN, iaitu apabila menjelangnya pilihan raya umum sedangkan selama ini mereka dipilih atas tiket BN.

“Tentunya ada agenda peribadi yang bertentangan dengan matlamat parti kerana umumnya orang-orang yang melompat ini adalah mereka yang bermasalah,” katanya lagi.

Tambah beliau, apa pun yang dilakukan oleh Anwar, BN tetap teguh dan kukuh kerana para pemimpin di dalamnya bukan saja tidak endah apa yang dilakukan oleh pakatan pembangkang sebaliknya anggota BN lebih fokus kepada tanggungjawab dan amanah untuk rakyat

No comments:

Post a Comment