Wednesday 25 July 2012

I.S.A : Derita & Igauan



Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (Lazimnya dikenali sebagai ISA, iaitu akronim nama bahasa Inggerisnya, Internal Security Act) merupakan undang-undang tahanan pencegahan yang sedang berkuatkuasa di Malaysia, melibatkan beribu-ribu orang termasuk ahli kesatuan sekerja, pemimpin pelajar, aktivis hak buruh, aktivis politik, golongan agama, ahli akademik dan aktivis badan bukan kerajaan dan ada yang ditahan lebih dari sedekad.


Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 sebenarnya dirangka oleh R.H. Hickling pada awalnya. Kemudian ia dijadikan undang-undang pada tahun 1960. Semasa akta itu mula digunakan, ia membenarkan kajian semula, akan tetapi sejak itu, ISA telah dipinda sebanyak lebih daripada 20 kali dan peruntukan ini telah dikeluarkan. Kuasa mutlak telah diberikan kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri membolehkan beliau menahan sesiapa pun tanpa merujuk kepada mahkamah. Sebaliknya tahanan mempunyai hak representasi di hadapan Lembaga Penasihat yang diwujudkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.


Tahanan ISA lazimnya diletakkan di bawah tahanan di Pusat Tahanan Kamunting. Seseorang yang ditahan di bawah ISA semasa 60 hari pertama tidak dibenarkan berkomunikasi dengan dunia luar. Tambahan pula, peguam dan ahli keluarga tidak dibenarkan melawat orang yang ditahan semasa tempoh awal ini. Jika satu perintah penahanan dua tahun ditandatangani, orang yang ditahan akan dibawa ke Pusat Tahanan Kamunting untuk tempoh yang ditetapkan, dan ahli keluarga lazimnya dibenarkan melawat semasa tempoh ini. Jika tidak, orang yang ditahan akan dibebaskan.


Penyeksaan dilaporkan menjadi sebahagian daripada kehidupan harian tahanan ISA. Mereka yang pernah ditahan menyatakan bahawa mereka telah didera secara fizikal dan mental yang termasuk salah satu daripada senarai ini: pukulan, penanggalan pakaian, soal siasat 24 jam, ketidakbenaran tidur, ancaman bunuh, ancaman deraan fizikal pada ahli keluarga termasuk ancaman rogol kepada anak mereka. Juga, tahanan diletakkan secara individu dalam sel penjara kecil tanpa cahaya dan udara, dalam yang dipercayai menjadi sel tahanan rahsia. Teknik dan aksi penyeksaan ini direka untuk memalukan dan menakutkan tahanan supaya mendedahkan kekurangan dan memecahkan pertahanan mereka.


Kendatipun kerajaan boleh membebaskan tahanan tanpa bersyarat, dalam sesetengah kes, ia telah menuntut mereka yang dibebaskan untuk membuat "pengakuan" umum di televisyen dan radio. Beberapa pertubuhan hak asasi manusia dan parti pembangkang telah mengritik Akta ini dan menggesa pemansuhannya. Kerajaan asing, terutama kerajaan Barat, juga telah menekan kerajaan untuk memansuhkan Akta sungguhpun mereka memiliki akta yang serupa seperti Akta USA PATRIOT.


Namun segalanya berakhir pada malam 15 September 2011 apabila Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan terus bersama-sama dengan Akta Buang Negeri 1959 dan digantikan dengan undang-undang baru yang lebih bersesuaian dengan hak asasi manusia dan lebih efektif dalam menandingi masalah keganasan.







No comments:

Post a Comment